KARANGAN BM SPM: Faedah-faedah Melancong dalam Negara

 


Faedah-faedah Melancong dalam Negara

Negara Malaysia kaya dengan industri pelancongan di daratan mahupun di kepulauan. Malaysia cukup terkenal kerana mempunyai pulau-pulau yang indah seperti Pulau Langkawi yang diisytiharkan sebagai pulau bebas cukai menjadikannya juga sebuah pusat tarikan para pelancong. Malaysia juga mempunyai banyak taman negara antaranya di Pahang yang menempatkan pelbagai spesies flora dan fauna yang kebanyakan kian pupus seperti Orang Utan dan Harimau Malaya. Jikat dilihat dari aspek kemasyarakatan, kepelbagaian kaum di Malaysia seperti Melayu, Cina, India, Kadazan dan Iban, hidup dalam keadaan yang cukup harmoni menyebabkan Malaysia sebagai sebuah negara yang sangat unik daripada negara-negara lain dan menjadi destinasi pilihan pelancong asing. Rakyat Malaysia sepatutnya menyokong industri pelancongan dalam negara kerana ia membawa banyak faedah tersirat khususnya kepada rakyat tempatan. Faedah ini akan kita kupas satu demi satu dengan lebih mendalam.

Apabila menyebut tentang melancong dalam negara sudah tentu kita dapat mengetahui bahawa salah satu kebaikannya termasuklah  memerlukan kos yang rendah. Hal ini kerana kita tidak perlu membeli tiket dan membuat pasport yang pasti memerlukan kos yang amat tinggi. Malahan perbezaan nilai mata wang juga mengakibatkan kita mengeluarkan banyak wang untuk menukarnya kepada mata wang asing. Sebaliknya cukup sahaja dengan menaiki kenderaan sendiri untuk melancong ke seluruh negeri. Bagi yang mampu, mereka boleh mendapatkan tiket kapal terbang dengan harga yang amat berpatutan khasnya kepada rakyat tempatan. Di negara sendiri juga terdapat banyak inap desa bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan yang menawarkan pakej harga istimewa. Jadi sudah terang lagi bersuluh bahawa kos yang rendah adalah antara faedah melancong di dalam negara.

Jika diteliti dengan lebih mendalam, faedah melancong dalam negara yang seterusnya ialah tidak timbul masalah komunikas antara pelancong dengan penduduk setempat. Hal ini dikatakan demikian kerana rakyat di Malaysia terdiri daripada berbilang kaum dan etnik namun mereka dapat berkomunikasi dengan mudah kerana menggunakan bahasa pengantar yang sama iaitu Bahasa Melayu. Ini membolehkan wujudnya suasana masyarakat yang harmoni, bagai aur dengan tebing. Sebagai contohnya, sewaktu melawat sesuatu tempat pelancongan seperti Muzium Negara kita akan mendapat maklumat dengan mudah dan jelas kerana kita boleh memahami pamplet yang disediakan di dalam Bahasa Melayu. Jelalslah bahawa melancong dalam negara memberi faedah komunikasi yang lebih jelas.

Sejajar dengan itu, melancong dalam negara dapat menjamin keselamatan diri dan keluarga. Sebagaimana yang diketahui umum pelbagai kes jenayah yang semakin membarah di peringkat antarabangsa akan mengancam keselamatan jika melancong di luar negara. Namun begitu, lain pula apabila melancong di dalam negara, risiko untuk jenayah berlaku adalah kecil. Hal ini dikatakan kerana kita dapat berhubung dengan pihak berkuasa secaterus sekiranya berlaku kecemasan. Keberadaan saudara-mara dan rakan-rakan terdekat juga dapat membantu kita berada dalam kesusahan. Tambahan pula, kita tidak memerlukan pasport atau visa untuk bergerak dari suatu tempat ke tempat yang lain. Dengan ini, kes kehilangan pasport dapat dielakkan serta memudahkan aliran pergerakan. Tuntasnya, keselamatan diri dan keluarga akan terjaga sekiranya melancong di dalam negara. Jelaslah bahawa kita perlu memberi penekanan terhadap aspek keselamatan, jangan sudah terhantuk baru terngadah.

Konklusinya, ternyata bahawa industri pelancongan dalam negara mempunyai banyak keistimewaannya. Pelbagai pihak perlu berganding bahu bagi memantapkan industri ini. Pihak media massa juga seharusnya memainkan peranan penting bagi memastikan sektor pelancongan ini akan terus menjadi tumpuan setiap pelancong. Kerajaan juga mestilah menjadikan pusat pelancongan itu sentiasa bersih dan terhindari daripada pencemaran alam sekitar agar tidak pupus dan sentiasa gah di mata dunia. Kita sebagai rakyat Malaysia juga sepatutnya bangga dengan tanah air kerana mempunyai keunikannya yang tersendiri. Kita juga wajar mengamalkan sikap bagai aur dengan tebing demi negara ini bagi merancakkan lagi industri pelancongan ini. Sudah terang lagi bersuluh bahawa sektor pelancongan adalah penyumbang ekonomi negara Malaysia yang tidak harus dipandang ringan. Majulah industri pelancongan negara!



Comments

Popular posts from this blog

PANTAI KASIH: Peristiwa menggambarkan Persoalan tentang Tanggungjawab

PANTAI KASIH : Nilai Ketabahan

PANTAI KASIH : Nilai Kemanusiaan