KARANGAN BM SPM : Gaya Hidup Rakyat Malaysia yang Mempengaruhi Gaya Hidup Anda

 



Rakyat di negara ini mempunyai gaya hidup yang baik. Huraikan gaya hidup rakyat Malaysia yang mempengaruhi gaya hidup anda. 

Kesihatan merupakan elemen penting kepada seseorang individu bagi menjalani sebuah kehidupan yang aman dan harmoni. Cogan kata, 'Hidup Sihat, Keluarga Bahagia' sudah sinonim dalam usaha pihak kerajaan bagi menimbulkan kesedaran kepada orang ramai bagi menjaga kesihatan lantas melahirkan keluarga bahagia. Seiring dengan wawasan 2020, negara mahu melahirkan rakyat yang bermentaliti kelas pertama. Bertepatan dengan cogan kata 'Badan Sihat, Minda Cerdas' kita harus mengamalkan gaya hidup yang baik bagi merealisasikan impian dan wawasan negara tersebut.

Pada era maklumat di hujung jari ini, gaya hidup rakyat Malaysia yang mempengaruhi gaya hidup saya adalah penggunaan masa. Seperti yang diketahui umum , masa itu emas. Di antara tanda orang yang rugi adalah mereka membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah. Pepatah Arab juga mengatakan kalau kamu tidak memotong masa pasti dia akan memotong kamu. Masyarakat Malaysia sering membuang masa mereka dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah terutama bagi golongan remaja. Mereka biasanya lebih gemar menghabiskan waktu di pusat beli-belah, pasar raya dan sebagainya. Penggunaan masa juga memainkan peranan dalam kesihatan kita. Jika kita menggunakannya ke arah kebaikan dalam masa yang sama kesihatan diri terjamin. Antara penggunaan masa yang mempengaruhi kesihatan ialah dengan berjoging, membuat senaman harian dan lain-lain. Sudah terang lagi bersuluh penggunaan masa sangat penting dalam menjamin kesihatan diri. 

Rakyat Malaysia pada msa ini semakin ramai yang rajin mengamalkan amalan senaman. Hal ini demikian kerana berita berkaitan kematian akibat penyakit kronik seperti diabetes dan sakit jantung disiarkan. Dengan ini saya juga akan mengamalkan aktiviti senaman. Senaman dapat dibuat sebanyak dua kali seminggu iaitu 30 minit bagi setiap sesi. Dengan senaman saya dapat meregangkan otot-otot badan. Selain itu, dengan bersenam juga saya dapat meningkatkan daya tahan kardiovaskular. Apabila melakukan senaman, jantung akan mengepam darah dengan laju lantas membuatkan pengaliran darah ke seluruh badan bergerak dengan lancar. Sel dalam badan dapat menerima oksigen daripada darah lantas membuatkan badan kita berasa lebih segar. Di samping itu, risiko untuk mendapat penyakit jantung adalah kurang jika dibandingkan dengan individu yang tidak bersenam. Selain itu juga senaman dapat mengurangkan tekanan perasaan. Melalui senaman diri kita dapat mengimbangkan kesihatan fizikal dan mental kita semua bak kata peribahasa sambil menyelam minum air. Tuntasnya, jadikan senaman amalan gaya hidup yang baik kepada diri kita agar kesihatan tubuh badan sentiasa berada pada tahap yang terbaik.

Sehubungan dengan itu, tahap kesedaran rakyat Malaysia yang rendah mengenai penjagaan kesihatan sudah tentu mendatangkan kesan negatif kepada kesihatan tubuh badan kita. Dengan itu, penjagaan kesihatan haruslah dititikberatkan supaya pelbagai penyakit kronik seperti gaut, diabetes, darah tinggi dan lain-lain dapat dielakkan. Antara penjagaan kesihatan ialah dengan melakukan pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya dua kali setahun. Dengan ini kita dapat memastikan sama ada kita bebas daripada segala ancaman penyakit. Hal ini menepati paribahasa yang mengatakan sudah terhanduk baru terngadah. Selain itu, kita juga perlu mendapatkan tidur yang secukupnya iaitu 8 jam sehari. Ini penting bagi membolehkan kita kekal segar dan bertenaga pada keesokkan harinya. Mengikut statistik pertubuhan kesihatan sedunia, lebih 50 juta orang yang mati dalam setahun kerana merokok. Oleh itu, kita hendaklah menjauhkan diri daripada amalan merokok kerana asap rokok mengandungi gas-gas bertoksin seperti tar, benzena pirena dan nikotin yang mampu menghakis dinding sel peparu dan seterusnya menyebabkan kanser peparu. Tak tumbuh tak melata, tak sungguh orang tak kata, kesihatan itu adalah anugerah daripada ilahi yang harus kita hargai dengan bersungguh-sungguh. 

Bukan itu sahaja, diet seimbang juga merupakan antara gaya hidup yang diamalkan oleh rakyat Malaysia. Oleh itu, saya telah mengamalkan diet seimbang dalam kehidupan harian. Diet seimbang merupakan pemakanan yang merangkumi semua nutrien yang diperlukan oleh tubuh badan dalam kadar yang secukupnya. Nutrien yang diperlukan oleh tubuh badan kita adalah protein, karbohidrat, lemak, vitamin dan sebagainya. Kita semua boleh merujuk kepada piramid makanan bagi mendapatkan kadar hidangan yang sesuai untuk kesihatan kita. Makanan berlemak seperti susu dan mentega yang berada di aras tertinggi piramid makanan. Jadi kita harus mengurangkan pengambilan makanan berlemak agar kadar kolesterol dalam darah berkurang lantas kita tidak akan berisiko untuk menghidap penyakit seperti darah tinggi dan kencing manis. Pepatah ada menyebut, lebih baik mencegah daripada mengubati. Kita juga harus meningkatkan pengambilan makanan yang berada di aras paling bawah piramid makanan iaitu buah-buahan, bijirin dan sayur-sayuran. Makanan-makanan ini merupakan sumber tenaga dan vitamin semulajadi yang membantu kita semua melawan jangkita penyakit dalam tubuh badan dan meningkatkan daya tahan badan. Jadi kita semua tidak mudah untuk mendapat jangkitan penyakit. Justeru kita harus mengamalkan diet seimbang bagi melahirkan individu yang sihat lantas mewujudkan komuniti yang bahagia.

Secara tuntasnya, gaya hidup yang baik menjamin kestabilan kesihatan yang berterusan. Kesihatan yang baik amat diperlukan bagi melahirkan modal insan yang berketerampilan. Oleh sebab itu, gaya hidup yang baik perlu dijadikan budaya kehipudan masyarakat agar kita semua dapat menjadi individu yang sihat jasmani, rohani, intelek dan emosi. Tuntasnya, kehidupan yang sihat akan melahirkan individu dan masyarakat yang cemerlang, gemilang dan terbilang.


Comments

Popular posts from this blog

PANTAI KASIH: Peristiwa menggambarkan Persoalan tentang Tanggungjawab

PANTAI KASIH : Nilai Ketabahan

PANTAI KASIH : Nilai Kemanusiaan