KARANGAN BM SPM: Peranan Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi dalam Kehidupan

 

Peranan Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi dalam Kehidupan

Masyarakat kini sudah pasti mengetahui peribahasa yang berbunyi bagai katak di bawah tempurung yang bermaksud seseorang yang tidak mengetahui perkembangan semasa. Seiring dengan kemajuan gelombang globalisasi yang sedang menggerakkan dunia pada masa ini, teknologi sudah menjadi satu keperluan kepada umat manusia di dunia ini. Jika kita imbas kembali pada suatu masa dahulu, manusia hanya bergantung kepada surat khabar, telefon awam, surat menyurat dan sebagainya. Kini, dunia sudah semakin berkembang maju dengan teknologi yang dapat memudahkan masyarakat berkomunikasi dan berhubung untuk memperoleh maklumat dan menjana pendapatan secara atas talian. Hal ini demikian kerana maklumat sudah berada di hujung jari. Melalui pelbagai aplikasi seperti Facebook, Instagram, WhatsApp dan lain-lain yang terdapat dalam alat peranti masing-masing yang canggih. Ternyata teknologi maklumat dan telekomunikasi mempunyai pelbagai peranan dalam kehidupan kita. Hal ini akan kita kupaskan satu persatu demi kebaikan bersama.

Jika diteliti dengan lebih mendalam, peranan teknologi maklumat dan komunikasi adalah sebagai keperluan dalam kehidupan. Hal ini dikatakan demikian kerana teknologi maklumat dan komunikasi memudahkan kita untuk berkongsi pendapat dengan cepat. Teknologi maklumat dan komunikasi memudahkan kita berhubung dengan ahli keluarga atau rakan-rakan yang berada jauh di luar negara. Dengan menggunakan aplikasi WhatsApp, Facebook dan banyak lagi dapat memudahkan makumat tersebar dengan lebih meluas. Maklumat dapat tersebar melalui video mahupun huraian. Selain itu, dengan menggunakan teknologi maklumat dan telekomunikasi juga dapat membantu menambahkan ilmu pengetahuan. Contohnya, menyertai kumpulan-kumpulan dalam aplikasi WhatsApp untuk belajar bahasa asing seperti Mandarin, Tamil dan sebagainya. Hal ini dapat menimbulkan sikap bahu-membahu dalam kalangan masyarakat kerana dapat bersama-sama berkongsi pendapat antara satu sama lain. Jelaslah bahawa teknologi maklumat adalah sebahagian daripada dalam kehidupan. 

Di samping itu, teknologi berperanan sebagai lubuk untuk memperoleh maklumat. Dalam era dunia tanpa sempadan, kita dapat memperoleh banyak maklumat daripada pelbagai aplikasi. Melalui aplikasi ini kita telah didedahkan dengan banyak maklumat sama ada yang baik atau buruk seorang pengguna teknologi yang bijak haruslah mengambil peranan penting bagi menyebarkan maklumat yang benar supaya tidak menimbulkan kekeliruan bagi semua pengguna. Sebagai seorang pelajar pula mereka dapat menggunakan teknologi ini untuk melayari laman sesawang untuk mendapatkan pelbagai informasi tentang pembelajaran ataupu membuat latihan. Hal dapat menjimatkan masa kerana masa itu emas. Begitu juga dengan kos, perbelanjaan buku-buku rujukan dan latihan yang dapat dijimatkan. Hal ini membuktikan bahawa banyak peranan yang dapat kita perolehi melalui daripada teknologi maklumat dan telekomunisasi jika kita menggunakannya dengan betul.

Bukan itu sahaja, peranan teknologi maklumat dan telekomunikasi juga membolehkan kita menjana pendapatan. Pada era maklumat di hujung jari ini, pelbagai kaedah dapat dilakukan untuk menjana pendapatan. Bidang teknologi dan maklumat ini telah memberikan kemudahan kepada kita untuk berjaya. Hal ini dapat dilihat melalui kejayaan usahawan-usahawan muda yang baru bertapak di dunia perniagaan ini. Majoriti usahawan berjaya menggunakan kaedah promosi secara meluas melalui atas talian seperti usahawan produk kecantikan, Dato Alif Syukri yang mengusahakan produknya itu menggunakan media massa seperti Facebook dan iklan televisyen. Tidak dilupakan juga peniaga-peniaga kecil yang menjual barangan di atas talian. Pekerjaan ini tidak memerlukan banyak tenaga bukan sahaja kepada peniaga malah pembeli juga. Mereka tidak perlu keluar dari rumah untuk membeli-belah sebaliknya hanya menggunakan aplikasi seperti Lazada, Shopee, Foodpanda, Grabfood dan sebagainya menerusi peranti canggih mereka. Sudah terang lagi bersuluh bahawa teknologi maklumat dan telekomunikasi membantu menjana pendapatan. 

Intihanya, semua orang boleh menggunakan teknologi maklumat dan telekomunikasi dalam kehidupan agar tidak diumpamakan seperti katak di bawah tempurung. Teknologi maklumat dan telekomukasi perlu dijadikan medium untuk memajukan diri, masyarakat, dan negara agar kita semua dapat duduk sama rendah berdiri sama tinggi dengan negra maju yang lain. Maka hasrat untuk merealisasikan Transformasi Nasional 2050 (TN50) akan tercapai. Sama-samalah kita, sebagai rakyat Malaysia yang proaktif berganding bahu dan ke bukit sama didaki ke lurah sama dituruni untuk memastikan impian menjadi realiti.

Comments

Popular posts from this blog

PANTAI KASIH: Peristiwa menggambarkan Persoalan tentang Tanggungjawab

PANTAI KASIH : Nilai Ketabahan

PANTAI KASIH : Nilai Kemanusiaan