KARANGAN BM SPM : Strategi untuk Mengatasi Gejala Sosial dalam Kalangan Remaja
Marcapada ini, isu gejala sosial dalam kalangan remaja sering meniti dari bibir ke bibir umat manusia di segenap pelusuk dunia. Antara gejala sosialnya termasuklah lumba haram, hubungan sumbang mahram, penyalahgunaan dadah dan pergaulan bebas yang semakin membarah. Remaja merupakan mereka yang berusia antara 13 hingga 21 tahun. Walaupun dinamakan remaja, tahap pemikiran mereka masih cetek dan belum matang. Oleh sebab itu, pelbagai pihak perlu memainkan peranan penting untuk mengatasi isu ini. Seandainya kita terus leka dan memandang remeh terhadap isu ini, usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang maju pada tahun 2020 hanya menjadi omong-omong kosong sahaja. Persoalannya, apakah strategi yang perlu dilakukan untuk mengatasi gejala sosial dalam kalangan remaja? Siapakah yang harus memainkan peranan penting? Tiada penyakit yang tiada penawar, maka langkah-langkah yang konkrit,sistematik dan pragmatik harus dijalankan secara berterusan agar masalah ini boleh diatasi hingga ke akar umbi.
Peranan utama untuk mengatasi gejala sosial yang pantas melanda dalam kalangan remaja adalah ibu bapa. Dalam hal ini, ibu bapa perlu menjadi suri teladan dan mereka hendaklah menerapkan nilai-nilai kepada anak-anak kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Ibu bapa harus sedar bahawa anak-anak remaja juga memerlukan perhatian dan kasih sayang yang sewajarnya. Hal ini amat penting kerana keluarga yang harmoni dapat membentuk jiwa remaja yang sihat, pergaulan yang baik, dan suasana berkasih sayang yang wujud dalam kalangan ahli keluarga akan melahirkan sifat yang mulia dalam diri remaja. Berbekalkan sifat-sifat yang mulia ini serta didikan agama yang mecukupi, para remaja akan menjauhkan dirinya daripada aktiviti yang tidak bermoral. Jelaslah bahawa peranan ibu bapa amat penting bagi mengatasi masalah gejala sosial dalam kalangan remaja.
Jika diteliti dengan lebih mendalam, sekolah berperanan sebagai institusi pendidikan yang utama dalam melahirkan generasi berilmu pada masa hadapan. Oleh sebab itu, guru kaunseling, guru disiplin, dan Penolong Hal Ehwal Pelajar memainkan peranan besar bagi mengatasi masalah gejala sosial yang pantas melanda pada masa ini. Contohnya, gejala buli, merokok, ponteng dan dadah sewajarnya diatasi sejak peringkat awal lagi. Hal ini bagi mengurangkan peratusan kes disiplin berlaku di sekolah. Guru sewajarnya menerapkan nilai-nilai yang baik dalam diri pelajar bagi melahirkan generasi yang berdisiplin dan dan dapat membentuk akhlak dan sahsiah yang baik kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Seterusnya, pihak sekolah perluah bekerjasama bagai aur dengan tebing dengan ibu bapa atau penjaga bagi mengatasi masalah gejala sosial yang berlaku dalam kalangan remaja terutama di sekolah kerana bulat air kerana pembentung bulat manusia kerana muafakat. Sudah terang lagi bersuluh bahawa sekolah memainkan peranan penting bagi menangani gejala sosial dalam kalangan remaja.
Sejajar dengan itu, media massa turut mempunyai peranan penting dalam memerangi isu permasalahan sosial yang semakin bermaharajalela dalam kalangan masayarakat. Seiring dengan kecanggihan teknologi dan maklumat, ungkapan katak di bawah tempurung tidak lagi timbul. Kini, masyarakat hanya perlu menggunakan hujung jari untuk mengetahui informasi, fakta dan peristiwa yang berlaku dimana-mana sahaja ceruk dunia ini dalam sekelip mata. Dunia tanpa sempadan ini seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh pihak media massa sebagai medium untuk menyalurkan maklumat berunsur positif serta nilai-nilai murni agar keruntuhan sosial terutamanya dalam kalangan generasi muda dapat ditegah. Contohnya, Kementerian Penerangan sewajarnya turut berganding bahu dengan menggunakan media elektronik seperti televisyen dan radio untuk menghebahkan aktivit-aktiviti berfaedah yang dianjurkan oleh pihak kerajaan atau Badan Bukan Kerajaan (NGO) untuk mengalih perhatian masyarkat terutamanya Belia daripada terus terjerumus dalam keseronokan yang berunsur negatif. Pada masa yang sama media elektronik sewajarnya bergabung dengan pihak produksi filem yang berkaitan dengan perihal remaja yang sarat dengan pengajaran dan disuburkan dalam sanubari pelajar agar mereka tidak sesekali melakukan perkara yang boleh menjejaskan imej diri mereka sendiri. Jelaslah, kepincangan sosial dalam kalangan remaja dapat diubati sekiranya pihak media massa turut terlibat selaku artifak pembangunan nilai kemanusiaan seperti menarik rambut dalam tepung, tepung tidak berselerak, rambut tidak putus.
Akhirulkalam, kita seharusnya menangani gejala sosial bersama-sama. Masyarakat perlulah bersikap bahu-membahu dan menjadi mata dan telinga bagi mengatasi masalah yang semakin parah. Hal ini demikian kerana remaja merupakan aset negara yang amat penting pada masa akan datang. Saidina Umar ada memikirkan bahawa, 'Jika mahu melihat masa depan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda-pemudi pada masa ini' kerana remaja juga akan mengambil alih untuk memimpin generasi yang seterusnya kata orang pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara.
Comments
Post a Comment